Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Perpustakaan UKM kerana telah selesai penyerahan koleksi lukisan-lukisan saya, sewaktu Majlis Perasmian Pembudayaan Ilmu Perpustakaan UKM pada hari ini, tanggal 8 November 2023, bertempat di Perpustakaan Tun Seri Lanang. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Tuan Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Bangi dan Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti. Beberapa lukisan saya telah diserahkan kepada pihak Perpustakaan UKM untuk dimasukkan ke dalam koleksi mereka; yang sebahagiannya termasuk dalam koleksi buku Lakar Lukis 5 Dasawarsa UKM.
Chronicles
Memenangi Anugerah Khas PERTADI (Kreativiti)
Azmannor menerima Anugerah Khas PERTADI untuk Bakat Cemerlang sempena Malam Gala Universiti Kebangsaan Malaysia. Anugerah ini disampaikan bagi menghargai bakat dan kreativiti terutama sumbangan artis sebagai pelukis cat air kepada UKM.
Pameran Terengganu dalam Lukisan
Nama Taib Aur sudah tidak asing lagi dikalangan pelukis tanah air. Antara pelukis yang mempunyai bakat semula jadi dalam pelbagai genre. Memanfaatkan rangkaian yang ada, Taib Aur telah merealisasikan impiannya untuk mengadakan pameran solo yang mengenengahkan subjek berkaitan Negeri Terengganu. Saya mendapat kesempatan untuk berkunjung ke Duyong Marina untuk melihat dengan lebih dekat pameran yang sedang berlangsung. Bertepatan dengan tema, rata-rata karya yang dihasilkan memberi mood yang segar kepada pengunjung dan peminat seni lukis. Taib Aur berjaya membuktikan usaha kerasnya selamat ini membuahkan hasil apabila lebih 50% lukisan yang dipamerkan terjual.
Syabas dan tahniah!
Singgah di Studio Kartunis Buloh
Saya dijemput oleh Kartunis Buloh ke studionya yang terletak di Bandar Baru Bangi. Pertama kali dipelawa memang agak teruja, dan yang paling mengujakan apabila Abang Buloh mempelawa saya untuk bertukar karya dengan karya terbaharunya yang baru sahaja diterbitkan bersama majalah Ujang.
Plein Air Kg. Baru Kuala Lumpur
Pak Wan Plein Air di UKM
Pak Wan merupakan pelukis dari Negeri Kedah berkunjung ke rumah anaknya yang terletak di Bangi Avenue. Beberapa hari sebelumnya, Pak Wan telah dibawa oleh Kartunis buloh ke studio saya. Pak Wan seorang yang mudah didekati, menceritakan pengalamannya sepanjang berkecimpung sebagai seorang pelukis. 19 Ogos yang lepas, saya dimaklumkan oleh kartunis Buloh bahawa Pak Wan telah melakukan aktiviti plein air bersendirian di Masjid UKM, dek kerana kekangan masa dan kerja saya hanya sempat singgah sebentar melihat Pak Wan berkarya.
Plein Air Lenggeng, Negeri Sembilan
Plein air kali ini amat istimewa kerana dilakukan pada Awal Muharram juga sempena hari lahir saya yang ke 35. Terima kasih Kartunis Buloh yang sentiasa mempunyai idea tempat untuk kami berplein air. Pada peringkat awal kami bercadang untuk mengadakan plein air di Pekan Mantin, pekan yang berada di sempadan Negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Walaubagaimanapun setelah tiba di Pekan Mantin, kelihatan cuaca mendung dan hampir hujan, kami hanya mengambil gambar-gambar sekitar yang dirasakan sesuai dilukis. Memasuki kawasan Lenggeng, cuaca yang mendung kembali cerah. Perkampungan di sini lebih menarik dengan deretan rumah tradisional dan hampir keseluruhan binaannya masih terjaga rapi dan asli. Tanpa membuang masa Kartunis Buloh telah meminta izin pemilik rumah untuk melakukan plein air di salah sebuah rumah yang ada di situ.