Walaupun sudah seminggu terlewat untuk post kan entry ni disebabkan masalah internet yang kritikal, saya nak share jugak gambar-gambar sepanjang aktiviti ni berlangsung.
Sebagai info Sungai Lembing sememangnya terkenal dengan panorama yang menarik dan unik kerana suasana bekas tapak perlombongan bijih timah (sekitar tahun 1920-1950) yang ditinggalkan dan tambahkan lagi dengan rekabentuk bangunan lama yang dikekalkan untuk tatapan pelancong dalam dan luar negara. Justeru Pertandingan Melukis Panorama Sungai Lembing diadakan bagi mengabadikan panorama Sungai Lembing dalam bentuk catan.
Untuk tidak melepaskan peluang saya dan kumpulan Warna dan Air Gallery (WASG) telah menyertai pertandingan yang disertai pelukis dari seluruh semenanjung. Sebanyak 40 penyertaan diterima oleh pihak penganjur dan aktiviti dimulakan dengan taklimat oleh Tuan Mohd Shaimy sebelum pertandingan bermula pada jam 930 pagi dan berakhir pada jam 130 petang. Karya yang siap berserta frame hendaklah dihantar sebelum atau pada jam 130 petang sahaja. Sementara menunggu karya diadili juri, aktiviti seterusnya adalah melukis potret yang diketuai oleh 2 orang sifu iaitu Tuan Munif dan Tuan Fadli, potret pilihan sifu akan menerima hadiah sebanyak RM300.
Keputusan hasil melukis Panorama Sungai Lembing pula sangat-sangatlah tidak diduga, dengan hanya berbekalkan semangat dan niat untuk bertemu otai-otai lukisan tanahair saya sertai juga pertandingan ini. Mungkin rezeki lebih memihak kepada saya mendapat tempat ketiga. Bantuan dan sokongan isteri, keluarga dan yang paling utama Gengsta Watakala dari WASG yang tidak pernah jemu untuk melukis dan terus melukis.
Kredit gambar kepada Syarfuddin Abdullah dan Rajawali Artgroupe Internationale.