About the Creation
Intrig: Merungkai Sisi dan Dimensi Cat Air merupakan penerbitan bersempena sambutan 6 tahun Gangsta Watakala, atau dikenali dengan akronim GW06, yang ditubuhkan semenjak tahun 2014. Bersekali dengan penerbitan ini juga turut diadakan Pameran GW06 yang berlangsung pada 11 November sehingga 31 Disember 2019 di Creative Space, Balai Seni Negara.
Ahli yang menganggotai kumpulan ini cenderung untuk fokus kepada aktiviti melukis langsung atau lebih sinonim dengan perkataan plein air. Plein air atau en plein air adalah aktiviti melukis yang dilakukan di lapangan, lazimnya lukisan akan disiapkan dalam tempoh masa tertentu antara 2 hingga 5 jam. Pada akhir tahun 1800, aktiviti ini menjadi semakin popular dan aktif dikalangan pelukis Eropah.
Nama-nama besar antaranya Claude Monet, Frederic Bazille, Alfred Sisley dan Pierre-Auguste Renoir mula menghasilkan karya secara langsung di lapangan. Mereka kebanyakannya menggunakan gaya impressionist dalam karya lapangan kerana lebih pantas dan hasil yang lebih dramatik dan mengujakan. Pada ketika itu, aktiviti ini terkenal dikalangan pelukis cat minyak (oil painting). Medium yang dianggap paling sesuai oleh mereka pada ketika itu.
Kesungguhan dan keaslian idea untuk mengembangkan aktiviti plein air ini membolehkan ia terus berkembang dan dipraktikkan di seluruh dunia, diadaptasikan dalam bentuk yang pelbagai mengikut kesesuaian tempat, cuaca dan budaya. Di negara ini, aktiviti plein air bukan sesuatu yang asing dikalangan pelukis cat air dan cat minyak. Aktiviti seakan live portrait painting ini telah berkembang sejak sekian lama serta banyak dipraktikkan dalam kelompok yang kecil pelukis di pantai barat dan utara semenanjung. Walaubagaimanapun, aktiviti ini mula berkembang dengan pantas dan menjadi fenomena selepas terdapat pertubuhan dan persatuan di peringkat antarabangsa yang menjadikan aktiviti plein air ini sebagai asas utama mereka berpesatuan.
Fenomena ini telah menjadi titik tolak kepada beberapa kumpulan baharu antaranya KL Sketchwalk, KL Sketchnation, Johor Sketchers dan Gangsta Watakala sendiri untuk aktif melakukan aktiviti plein air. Gangsta Watakala yang mula ditubuhkan pada tahun 2014 telah menjelajah ke dalam dan luar negara untuk melakukan aktiviti dan pertandingan plein air yang dianjurkan.